August 5, 2015 Aminuddin bin Yahaya, Berita Utama, Kolumnis,
SEPANJANG beberapa bulan yang lepas saya masih belum berjumpa dengan mana-mana rakyat yang melihat isu 1MDB ini secara positif.
Tindakan-tindakan
yang dilakukan kerajaan bukan menjawab malah menimbulkan lebih banyak
persoalan. Rakyat diminta berfikiran progresif dan positif, rakyat juga
diminta memberi kepercayaan kepada kerajaan, rakyat diminta menunggu
siasatan dan pelbagai lagi.
Tapi dalam
masa yang sama penjelasan-penjelasan yang tidak konsisten oleh pimpinan
negara tidak membayangkan pemimpin sendiri serius dalam nak
menyelesaikan kes ini.
Badan penyiasat bebas bukan saja dihentikan malah pejabat mereka digeledah atas sangkaan berlakunya kebocoran.
Apakah
pemimpin negara tidak percaya kepada agensi mereka sendiri? Jika mereka
tidak percaya akan integriti agensi-agensi ini maka adakah logik mereka
meminta rakyat percaya?
Jika
segala perundangan dan peraturan dicabul oleh pemimpin, maka adakah
masuk akal mereka meminta rakyat patuh pada undang-undang? Jika
pemimpin-pemimpin yang sudah terkenal dengan akhlak yang rosak dan
mempunyai sejarah hitam, maka adakah munasabah rakyat diminta percaya
kepada mereka?
Jika yang disyaki tidak disiasat tetapi seorang despatch
pula yang ditahan, apakah rakyat boleh terima mainan ini? Jika pelbagai
isu yang tidak boleh dijawab tapi siasatan awal mengatakan tidak ada
salah laku yang dijumpai, apakah boleh diterima apabila rakyat diminta
menunggu habis siasatan? Adakah laporan itu nanti akan ada integriti?
Bak kata pepatah ‘rosaknya ikan bermula dari kepalanya’. Rosaknya rakyat bermula daripada pemimpinnya.
Tidak
mungkin rakyat akan baik jika pemimpin tidak menunjukkan integriti dan
ketelusan. Jika rakyat bersuara, jika rakyat keluar ke jalanan, jika
rakyat membenci dan menghina pemimpin, jika rakyat pandai menipu, jika
rakyat menolak kerajaan…..jangan salahkan mereka.
Mereka hanya sekadar mengikut tauladan yang ditunjukkan oleh para pemimpin.
Aminuddin Yahaya
Timbalan Presiden Isma
Timbalan Presiden Isma
http://www.ismaweb.net/2015/08/rosak-ikan-dari-kepala/
No comments:
Post a Comment